
Kebijaksanaan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim: Diplomasi Berani Demi Gaza Yang Tertindas
Kebijaksanaan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim: Diplomasi Berani Demi Gaza Yang Tertindas
Di saat dunia semakin ramai memilih untuk berdiam diri, Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim tampil sebagai seorang pemimpin yang bukan sahaja berani bersuara, tetapi juga bertindak dengan kebijaksanaan diplomasi yang luar biasa demi membantu rakyat Gaza yang terus dizalimi oleh rejim zionis laknatullah.
Dalam suasana geopolitik dunia yang penuh tekanan, ugutan dan kepentingan kuasa besar, bukan mudah untuk sesebuah negara kecil seperti Malaysia mengambil pendirian yang jelas dan tegas. Namun di bawah kepimpinan Kerajaan MADANI, Malaysia tidak tunduk, tidak gentar, dan tidak berkompromi dalam soal kemanusiaan.
Dengan penuh hikmah dan keberanian, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menggerakkan langkah diplomasi strategik sehingga menjadikan peluang pertemuan dengan Presiden Mesir sebagai medan untuk mendapatkan kelulusan segera bagi menghantar bantuan kemanusiaan sebanyak 374,000 kilogram (374 tan metrik) kepada 100,000 penduduk Gaza yang sedang menderita akibat kekejaman berterusan rejim zionis. Ini bukan sekadar angka. Ini adalah komitmen Malaysia sebagai suara ummah, suara kemanusiaan, dan suara keadilan.
Bantuan ini membuktikan bahawa Malaysia bukan hanya pandai berpidato di pentas antarabangsa, tetapi mampu menterjemahkan solidariti kepada tindakan nyata. Dalam keadaan sempadan dikawal ketat, laluan bantuan disekat, dan tekanan antarabangsa semakin memuncak, hanya pemimpin yang mempunyai kredibiliti diplomatik, jaringan antarabangsa yang kukuh, dan keberanian moral yang tinggi mampu memastikan bantuan sebesar ini sampai kepada mereka yang memerlukan.
Inilah bezanya pemimpin yang benar-benar memimpin.
Dato’ Seri Anwar Ibrahim menggunakan saluran hubungan antarabangsa, kerjasama dengan negara-negara sahabat, badan-badan kemanusiaan, serta pendekatan diplomasi berhemah untuk memastikan suara Malaysia didengar dan bantuan Malaysia tidak terhenti di atas kertas semata-mata. Inilah bukti bahawa kepimpinan MADANI bukan retorik kosong, tetapi kepimpinan yang ada jiwa, prinsip dan tindakan.
Ketika ada pihak di dalam negara sibuk bermain politik sempit, menabur fitnah, dan mencari salah tanpa henti, Perdana Menteri pula sedang mengangkat maruah Malaysia di mata dunia sebagai negara yang berani membela Palestin secara konsisten. Dalam isu Gaza, Malaysia di bawah Anwar Ibrahim tidak pernah goyah. Tidak pernah menjual prinsip. Tidak pernah tunduk kepada tekanan.
Sikap ini wajib dihargai oleh seluruh rakyat Malaysia.
Kerana membantu Gaza bukan sekadar soal bantuan makanan atau ubat-ubatan. Ia adalah soal maruah umat Islam, prinsip kemanusiaan sejagat, dan keberanian menentang kezaliman.
Dan dalam hal ini, Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah menunjukkan bahawa Malaysia masih mempunyai seorang pemimpin yang tahu membezakan antara diplomasi pengecut dengan diplomasi bermaruah.
374,000 kilogram bantuan kemanusiaan yang dihantar ke Gaza adalah mesej yang sangat jelas:
Malaysia tidak akan pernah membisu ketika Palestin dibunuh.
Malaysia tidak akan pernah mengiktiraf kezaliman sebagai norma. Malaysia, di bawah kepimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim, akan terus berdiri teguh bersama Gaza hingga ke akhir.
Semoga usaha ini menjadi asbab keberkatan kepada negara kita, dan semoga Allah SWT memelihara setiap langkah perjuangan yang dilakukan demi saudara-saudara kita di Palestin.
Tahniah Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan tahniah juga rakyat Malaysia.
Ini usaha kita bersama sebagai rakan strategik dalam perjuangan rakyat Palestin menolak kezaliman kuasa dunia terhadapnya.
Ustaz Arham Munir Merican
Timbalan Pengerusi Daie Madani
#DaieMadani
#BersamaGaza
#MalaysiaMadani