JPM
Daie MadaniDaie MadaniIslam Mekar Bersama Malaysia MADANI
Artikel

Nuzul Al-Quran : Menyubur cinta sebenar kepada Sang Pencipta

Disiarkan

Kandungan

Nuzul Al-Quran : Menyubur cinta sebenar kepada Sang Pencipta

Oleh Editorial2 min

Nuzul Al-Quran : Menyubur cinta sebenar kepada Sang Pencipta

Penulis : Ustaz Amir Zuhair, Pengerusi Daie Madani

Setiap kali tiba 17 Ramadan, kita pasti akan memperingati sebuah peristiwa agung buat umat Nabi Muhammad SAW. Ia adalah detik bersejarah bermulanya wahyu pertama al-Quran diturunkan kepada Baginda dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah (langit dunia) secara sekaligus terus ke hati Baginda di Gua Hira' secara beransur-ansur.

Al-Quran bukan sekadar naskhah bacaan, tetapi ia adalah manhaj (panduan) agung untuk kehidupan manusia. Hebatnya al-Quran, ia tetap menjadi kompas petunjuk buat sesiapa sahaja, tidak kira sama ada dia seorang Islam mahupun bukan.

Isinya pula tidak terhad kepada satu cabang ilmu sahaja. Ia merangkumi segenap aspek kehidupan yang kemudiannya dikupas tuntas melalui hadis Nabi SAW. Malah, akhlak dan kehidupan Baginda sendiri adalah umpama 'al-Quran yang berjalan' manifestasi realiti terhadap kalam suci ini.

Cuba kita renungkan. Setiap hari kita bangun tidur mengharapkan ada 'keajaiban' yang menyelesaikan bebanan kita. Yang sakit harap disembuhkan, yang miskin harap dikayakan, yang dihina harap dimuliakan, dan yang dibelenggu hutang harap segera dilangsaikan. Kita sentiasa mencari keajaiban.

Hakikatnya, akar kepada setiap masalah itu berpunca dari hati. Kita rasa sesuatu itu 'masalah' kerana ia mengganggu ketenteraman jiwa kita. Bila hati tenang, kita seakan tidak nampak masalah itu membebankan. Kita takut sakit dan miskin kerana ia membawa kekacauan pada hati. Pokok pangkalnya, urusan hidup ini sangat berkait rapat dengan soal menjaga hati.

Lalu, bagaimana mahu mencari ketenangan itu?
Nah, di sinilah letaknya keajaiban al-Quran. Saat hati resah, jiwa tidak tenteram dan hidup terasa terumbang-ambing... ambillah wuduk, buka helaian al-Quran dan bacalah.

Dengan asbab kalam Allah Yang Maha Agung, seberat mana pun bebanan, perlahan-lahan akan terasa seakan diangkat dari bahu. Ajaibnya mukjizat ini, walaupun ia di dalam bahasa Arab dan kadang-kala kita tidak faham pun maksudnya secara mendalam, alunan bahasanya tetap mampu menyejukkan jiwa dan mendamaikan kekusutan.

Sebab itu jauh di sudut hati, timbul rasa ralat dan kecewa apabila melihat ada segelintir manusia yang sanggup menghina dan memijak naskhah suci ini. Sedangkan al-Quran itulah penyelesaian kepada ibu segala masalah. Ia adalah ubat kepada kecelaruan mental yang membarah hari ini—stres, kemurungan (depression), dan kerisauan (anxiety). Ambillah al-Quran, dan bacalah.

Jangan kita tinggalkan al-Quran walau sehari. Jika kita mahu merasai sendiri keajaiban Tuhan dan melihat mukjizat terbesar Nabi Muhammad SAW, jadikanlah al-Quran sebagai teman rapat.
Semoga 17 Ramadan tahun ini menyuburkan kembali cinta kita kepada al-Quran. Moga ia terus menjadi asbab kebaikan yang mengalir dalam hidup kita, dan kelak menjadi syafaat yang menyelamatkan kita di akhirat sana.

Salam Nuzul Al-Quran.

Kuala Lumpur