JPM
Daie MadaniDaie MadaniIslam Mekar Bersama Malaysia MADANI
Kenyataan Media

SOAL NYAWA TIDAK BOLEH DIKOMPROMI: DAIE MADANI DESAK KAWALAN ARAK LEBIH KETAT DI PREMIS RUNCIT

Disiarkan

Kandungan

SOAL NYAWA TIDAK BOLEH DIKOMPROMI: DAIE MADANI DESAK KAWALAN ARAK LEBIH KETAT DI PREMIS RUNCIT

Oleh Editorial2 min
#DaieMadani#PerangiArak

SOAL NYAWA TIDAK BOLEH DIKOMPROMI: DAIE MADANI DESAK KAWALAN ARAK LEBIH KETAT DI PREMIS RUNCIT

Percepatkan sistem diyat untuk pengadilan waris

  1. Tragedi pemandu mabuk yang meragut nyawa terus berulang tanpa henti. Baru-baru ini, seorang penunggang motosikal dalam lingkungan 30 tahun maut dirempuh sebuah kereta yang dipandu oleh lelaki yang disahkan positif alkohol dan dadah di Klang. Waris mangsa terpaksa menanggung kehilangan yang tidak ternilai, sementara pesalah berhadapan hukuman yang boleh dikatakan ramai pihak menganggap masih tidak setimpal.

  2. Daie MADANI berpandangan bahawa punca masalah ini perlu ditangani secara lebih berani dan sistematik. Ketersediaan arak secara terbuka di kedai runcit, kedai serbaneka, dan premis 24-jam di kawasan perumahan adalah antara faktor utama yang memudahkan pengambilan alkohol secara berleluasa sebelum memandu.

  3. Sebagai perbandingan, Australia menguatkuasakan kawalan ketat di mana penjualan arak bawa balik (packaged liquor) dilarang sepenuhnya pada hari-hari tertentu seperti Good Friday dan Krismas. Jika sebuah negara yang tidak menjadikan agama Islam sebagai agama Persekutuan pun mampu melaksanakan kawalan sedemikian demi keselamatan awam, Malaysia yang berpaksikan nilai Islam dan prinsip MADANI sudah semestinya mampu melangkah lebih jauh.

  4. Daie MADANI mengiktiraf dan ingin menyatakan sokongan penuh kepada usaha-usaha yang telah diambil oleh kerajaan: pertama, Perbincangan Meja Bulat JAKIM yang dipengerusikan oleh YB Dr. Zulkifli Hasan pada Februari 2026 bagi meneliti pelaksanaan sistem diyat sebagai pampasan berasaskan syariah kepada waris mangsa kemalangan; kedua, larangan pengambilan arak di pantai awam Port Dickson dan kawasan rekreasi awam di Negeri Sembilan dengan kompaun sehingga RM2,000; dan ketiga, pembekuan pengeluaran lesen baru penjualan arak di kedai runcit dan kedai serbaneka di Kuala Lumpur oleh DBKL sejak 2021 yang terus dipertahankan. Usaha seperti ini harus dikekalkan dan diperluaskan.

  5. Sehubungan itu, Daie MADANI dengan tegas mendesak kerajaan untuk:

(a) menghadkan penjualan arak di premis runcit terbuka, khususnya di kawasan perumahan dan berdekatan institusi pendidikan serta tempat ibadah;

(b) melarang penjualan arak bawa balik pada waktu larut malam;

(c) menjadikan dasar pembekuan lesen arak runcit DBKL sebagai dasar kebangsaan yang dilaksanakan secara seragam di seluruh Malaysia; dan

(d) mempercepatkan pelaksanaan sistem diyat bagi memastikan waris mangsa mendapat keadilan yang setimpal.

  1. Kami juga mendesak Perdana Menteri untuk memastikan setiap kementerian dan agensi berkaitan termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Kementerian Kesihatan, dan pihak berkuasa tempatan bekerjasama secara bersepadu dalam menangani isu ini. Kawalan arak bukan isu agama semata. Ia adalah isu kesihatan awam, keselamatan jalan raya, dan keadilan sosial.

  2. Langkah-langkah ini penting bagi memastikan kepentingan masyarakat dan keselamatan awam di Malaysia terus dipelihara, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dalam memelihara nyawa, menjaga akal, dan melindungi keturunan, sebagaimana dikehendaki oleh Maqasid Syariah.

Putrajaya
30 Mac 2026 bersamaan 10 Syawal 1447H