JPM
Daie MadaniDaie MadaniIslam Mekar Bersama Malaysia MADANI
Artikel

AGIHAN KEUNTUNGAN TABUNG HAJI TERTINGGI DALAM LAPAN TAHUN — BUKTI TADBIRURUS DAN PENGURUSAN CEKAP

Disiarkan

Kandungan

AGIHAN KEUNTUNGAN TABUNG HAJI TERTINGGI DALAM LAPAN TAHUN — BUKTI TADBIRURUS DAN PENGURUSAN CEKAP

Oleh Editorial3 min

AGIHAN KEUNTUNGAN TABUNG HAJI TERTINGGI DALAM LAPAN TAHUN — BUKTI TADBIRURUS DAN PENGURUSAN CEKAP

Tabung Haji baru sahaja mengumumkan agihan keuntungan 2025 pada kadar efektif*3.50%, tertinggi dalam lapan tahun, dengan zakat 2.577 sen menjadikan jumlah keseluruhan 6.077 sen seunit.

Ini setanding dengan EPF Simpanan Shariah yang mencatatkan 6.15% menjadikan Tabung Haji pilihan pelaburan yang kompetitif, khususnya bagi mereka yang menyimpan dengan niat Haji.
Tetapi angka ini bukan semata-mata tentang pulangan kewangan. Ia adalah bukti bahawa amanah pengurusan yang dijaga dengan baik akan mendatangkan hasil yang positif.

TADBIRURUS BAIK DAN PENGURUSAN YANG CEKAP KOMITMEN KERAJAAN MADANI

Tahun lepas, agihan dilakukan dengan menggunakan sebahagian daripada Profit Equalisation Reserve (PER) iaitu simpanan rizab TH sendiri. Bermakna TH terpaksa menggunakan tabung simpanannya untuk menampung agihan keuntungan yang diberikan kepada pendeposit.
Tahun ini berbeza sepenuhnya.

Agihan 3.50% ini dibuat sepenuhnya daripada Keuntungan Boleh Agih, tanpa menyentuh PER. Malah, TH berjaya menambah rizab baharu tahun ini — sesuatu yang tidak berlaku sejak beberapa tahun lalu.

Ini adalah tanda kesihatan kewangan sebuah institusi Islam yang semakin pulih.
Apakah yang membezakan TH hari ini dengan TH lima tahun lalu? Kepimpinan yang dipilih atas merit dan pengalaman, bukan semata-mata lantikan politik.

Kerajaan melantik semula Tan Sri Abdul Rashid Hussain sebagai Pengerusi Lembaga Tabung Haji untuk penggal dua tahun bermula 20 Disember 2025, mencerminkan keyakinan berterusan terhadap kepimpinannya yang telah melaksanakan pembaharuan strategik dan tadbir urus yang signifikan.

Tan Sri Abdul Rashid, pengasas kumpulan RHB, juga pernah berkhidmat sebagai ahli Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji yang ditubuhkan untuk menyiasat isu-isu pengurusan dan operasi TH. Beliau bukan sahaja memahami struktur kewangan Islam secara mendalam malah beliau telah menyaksikan sendiri apa yang berlaku apabila tadbir urus gagal, dan bertekad memastikan ia tidak berulang.

Ini selaras dengan hasrat Perdana Menteri untuk TH terus memperkukuh tadbir urus dan pengurusan demi manfaat pendeposit.

Inilah model Malaysia MADANI di mana institusi awam dipimpin dengan kecekapan, amanah, dan prinsip yang betul.

ASET RM96.37 BILION: UNTUK SIAPA?

Aset di bawah pengurusan TH kini mencecah RM96.37 bilion. Lebih 90% dilaburkan dalam negara, dan menyumbang hampir 91% daripada jumlah agihan pendapatan. Ini wang rakyat yang bekerja untuk rakyat.

Alokasi aset TH dibina untuk keseimbangan: Sukuk dan Pendapatan Tetap sebagai tonggak kestabilan, Ekuiti untuk pertumbuhan, Instrumen Pasaran Wang untuk kecairan, dan Hartanah untuk pulangan jangka panjang.

Namun yang lebih penting, TH sedang menilai semula polisi Alokasi Aset Strategiknya. Ini menunjukkan kepimpinan yang tidak berpuas hati dengan status quo, sentiasa mencari ruang tambah nilai demi pendeposit.

HAJI 2026: JAMINAN TABUNG HAJI DAN KERAJAAN MADANI
Bagi mereka yang bimbang tentang kos Haji 2026 berikutan kenaikan harga minyak global, Menteri Hal Ehwal Agama, YB Senator Dr Zilkifli Hasan telah memberikan jaminan kos Haji tidak akan berubah.

Kos Haji musim 1447H ditetapkan pada RM33,300 dan tidak akan meningkat. Sebarang peningkatan kos akan ditanggung sepenuhnya oleh TH.

Penerbangan pertama dijadualkan pada 18 April ini. Urusan dengan Malaysia Airlines dan Saudi Airlines telah diselesaikan.

Ini tentunya memberika kelegaan dan ketenangan buat bakal tetamu Allah tahun ini.
Marilah kita terus berdoa untuk kesejahteraan institusi ini, dan terus menyokong setiap usaha baik yang membawa umat ke arah yang lebih kukuh.

Ustaz Muhammad Arham Munir Merican
Timbalan Pengerusi
Daie Madani (DAMAI)